Saturday, December 19, 2009

Mazda RX8




Mazda RX-8

Mazda RX-8 adalah kereta sport keluaran Mazda Motor Corporation. Ia mula ditampilkan pada tahun 2001 semasa Pertunjukan Kereta Antarabangsa Amerika Utara. Ia menggantikan kereta RX-7 dan, seperti pendahulunya di dalam barisan model RX, ia digerakkan oleh sebuah enjin Wankel. RX-8 mula dijual di Amerika Utara sebagai model kereta tahun 2004.

Reka Bentuk

RX-8 direkabentuk menggunakan susun letak enjin FMR (enjin hadapan dimuatkan di tengah, pacuan roda belakang) serta jenis badan coupé 2+2 (2 tempat duduk hadapan, 2 tempat duduk belakang). Kereta ini mempunyai agihan berat menghampiri 50:50 yang diperolehi hasil pemasangan enjin di belakang gandar hadapan dan tangki minyak di hadapan gandar belakang. Berat dikurangkan dengan menggunakan bahan seperti aluminium (hud dan pintu belakang), serta aci pacuan komposit gentian karbon pada kereta transmisi manual; direka bagi mengurangkan jisim berputar (momen inersia) yang bersambung dengan enjin. Selebihnya diperbuat daripada keluli kecuali bampar plastik depan dan belakang.

Kereta ini menampilkan sepasang pintu "gaya bebas" dengan engsel di belakang untuk memudahkan penumpang memasuki tempat duduk belakang. Model RX-8 tiada tiang B di antara pintu depan dan belakang, sebaliknya garisan pintu-pintu tersebut bertindak sebagai "tiang maya" bagi mengekalkan ketegaran kereta. Oleh kerana reka bentuk bertindan, pintu belakang hanya boleh dibuka selepas pintu hadapan dibuka.

Generasi pertama (SE)

Versi pertama RX-8 dikeluarkan antara tahun 2004 sehingga 2008, digerakkan oleh enjin rotari 13B-MSP Renesis bersesaran 1.3 liter (dua rotor 654cc) serta digandingkan dengan transmisi manual 6 kelajuan bagi menghasilkan kuasa kuda 237 bhp pada 8200rpm dan tork 211Nm (ECE) pada 5500 rpm.[1] Enjin Renesis Berbilang Rongga Tepi menghasilkan kecekapan bahan api serta pelepasan asap yang jauh lebih baik daripada enjin kereta RX-7.

RX-8 didapati dalam pelbagai model bagi memenuhi pelbagai pasaran di seluruh dunia. Model standard termasuklah:

"Kuasa Tinggi" manual 6 kelajuan dengan kuasa kuda antara 170 kW (231 hp) hingga 177 kW (237 hp) dan garisan merah 9,000 rpm. Model Jepun menghasilkan 184 kW (247hp)(250 PS).
"Kuasa Standard" manual 5 kelajuan ditala kepada 141 kW (192 hp) dengan garisan merah dikurangkan kepada 7,500 rpm.
Automatik 4 kelajuan ditala kepada 141 kW (189 hp) pada sesetengah pasaran, manakala model automatik AS menghasilkan kuasa kuda bersih 197 hp (SAE) (158 kW).
Automatik 6 kelajuan (didapati di pasaran AS bermula tahun 2006) menghasilkan 212 hp (170 kW) dan 159 ka-lb kilasan dengan garisan merah 7,500 rpm.[2]


2009 Mazda RX-8

Pindaan semula model Mazda RX-8 mula ditampilkan semasa Pameran Kereta Detroit 2008, dengan tahun pengeluaran bermula pada 2009. Perubahan bermakna telah diterangkan oleh Autoblog sebagai:

Pengukuhan kerangka tambahan meningkatkan ketegaran, bersama-sama palang topang trapezoid serta geometri sistem gantungan baru.

Sebagai tambahan, beberapa perubahan kosmetik kecil telah dilakukan terutamanya pada bahagian hadapan, fender, dan lampu belakang. Tiada perubahan keluaran kuasa enjin dilakukan, walaupun model transmisi manual bakal dikurangkan nisbah pacuan akhir kepada 4.777 daripada 4.444 pada model sebelumnya

Enjin Wankel

Enjin Wankel adalah sejenis enjin pembakaran dalaman yang menggunakan rekabentuk putaran bagi menukarkan tekanan hasil pembakaran campuran udara-bahan api terus kepada gerakan putaran, berbeza dengan enjin omboh biasa yang menghasilkan gerakan salingan sebelum ditukarkan kepada gerakan putaran oleh aci engkol. Kitar empat lejang di dalam enjin tersebut dijana di dalam ruang antara perumah berbentuk epitrokoid seakan bujur dengan rotor berbentuk segi tiga. Reka bentuk ini menghasilkan kuasa rpm tinggi yang lancar daripada enjin yang padat dan ringan.

Enjin ini dicipta oleh jurutera Jerman, Felix Wankel. Beliau memulakan pembangunan enjin tersebut pada awal 1950-an di NSU Motorenwerke AG (NSU) sebelum menyiapkan prototaip yang boleh berfungsi dengan sempurna pada tahun 1957. NSU kemudian melesenkan konsep tersebut kepada beberapa syarikat kereta lain di serata dunia, yang seterusnya menambah baik enjin tersebut antara tahun-tahun 1950-an dan 1960-an.

Disebabkan rekabentuknya yang padat dan ringan, enjin rotari Wankel digunakan pada pelbagai kenderaan dan peralatan seperti kereta dan kereta lumba, kapal terbang, go-kart, bot laju peribadi serta unit kuasa sampingan

Reka Bentuk

Di dalam enjin Wankel, kitar empat lejang terhasil di dalam tiga ruang yang terbentuk daripada perumah dan juga rotor berbentuk segi tiga (sebenarnya setiap sisi rotor melengkung sedikit). Perumah enjin Wankel berbentuk epitrokoid, iaitu seakan bujur tetapi sebenarnya menyerupai bentuk dua bulatan yang bertindih. Bentuk sebegini membolehkan ruang yang besar bagi kitar aruhan dan kitar kuasa dapat dihasilkan. Kuasa dipindahkan daripada rotor kepada aci eksentrik, ataupun aci-E.

Oleh kerana kebuk pembakaran semasa kitar mampatan adalah panjang, maka lebih daripada satu palam pencucuh biasanya diperlukan untuk membakar campuran udara-bahan api dengan sempurna, berbanding hanya satu bagi setiap silinder enjin omboh. Biasanya dua palam pencucuh digunakan, tetapi dalam sesetengah kes ada kalanya tiga palam pencucuh digunakan untuk setiap rotor.

Reka bentuk enjin sebegini membolehkan kitar kuasa dihasilkan pada setiap satu putaran rotor, iaitu tiga lejang kuasa pada setiap putaran enjin, berbanding dua putaran bagi setiap lejang kuasa pada enjin empat lejang. Oleh itu, enjin Wankel lazimnya menghasilkan keluaran kuasa lebih tinggi daripada enjin empat lejang dengan sesaran enjin yang sama, contohnya Enjin Renesis 1.3L yang digunakan pada kereta Mazda RX-8 menghasilkan lebih kurang 238 bhp, manakala enjin S4PE 1.3L pada kereta Proton Saga hanya menghasilkan 94 bhp. Oleh sebab itu, kebanyakan negara serta badan induk perlumbaan menganggap sesaran enjin Wankel sebagai dua kali sesaran enjin empat lejang, misalnya kereta Mazda RX-8 1.3L dikenakan cukai jalan setara dengan kereta dengan sesaran enjin 2.6L.

Enjin Wankel mempunyai garisan merah yang lebih tinggi daripada enjin empat lejang biasa disebabkan penggunaan gear antara rotor dan aci-E, serta operasi enjin secara putaran yang lancar, tidak seperti enjin omboh biasa yang lazimnya menghasilkan gegaran terutamanya pada kelajuan tinggi.

No comments:

Post a Comment

lagu

kereta

kereta mazda